Aneh sungguh pengguna IT zaman sekarang , terkadang saya rasakan ianya bukanlah suatu yang menjadi rahmat apabila semua orang boleh menulis secara terang-terang di media sosial, bahkan ianya menjadi sebuah keaiban.
Sesetengah orang seperti kera mendapat bunga, mungkin itulah bahasa yang boleh dikatakan.
Ironinya, saya telah merasa lelah dengan facebook. Bahkan saya dalam usaha menghindarkan sebarang unsur provokasi yang bisa menyebabkan jemari ini ingin berdebat. Saya hanya remove sahaja satu persatu friends yang betah dengan pendapat mereka. Kerana hakikatnya debat itu tidak akan merubah apa-apa melainkan menambahkan ego dan kedegilan. Isunya pula berkaitan Ijtihad, sumbernya pula dari asas yang sama cuma penafsiran yang berbeza.
Samalah seperti zaman berzaman pengikut-pengikut Mazhab 4 Ahli Sunnah Wal Jamaah berdebat berkenaan pendapat Imam manakah yang paling rojih dalam menentukan hukum. Hingga ke hari ini pun tidak selesai. Bukan tidak boleh berdebat, namun biarlah orang yang layak sahaja yang berdebat mengenainya.
Baik isu Politik melibatkan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, isu Jemaah antara IKRAM dan ISMA, isu-isu semasa jika menyorot perdebatan menjadi larut adalah tindakan orang-orang biasa. Bahkan gelaran 'macai' tidak lagi terpakai untuk orang pengikut BN yang mempertahankan kerajaan malah 'macai' juga kepada pengikut Pakatan Rakyat yang tak pernah nampak langsung kebaikan kerajaan.
Isu CB 90 hilang
Saya tidak mahu mengkomentar isu ini di Facebook, apatah lagi saya jauh dari tanah air untuk mengkomentar. Bot CB 90 memang bawah kendalian saya dari segi modifikasinya dan saya faham jika mungkin ada kerosakan pada radar mahupun radionya. Lagi pula saya terbayangkan krew kapal yang bagaimanakah nasib mereka di tengah kepulauan spratly yang memang terkenal dengan ombak setinggi 4 hingga 5 meter di kalangan warga tentera laut.
Namun sedih melihat, pak cik-pak cik yang baik dan jernih wajah. Istiqomah dalam perjuangan parti memperkatakan malah memperlekehkan sesuatu yang mereka sendiri tidak tahu. Cukup sahaja kemulian diri itu dengan banyak diam lebih daripada bercakap. Kerana dengan banyak cakapnya, banyaklah salahnya, malah hodoh sungguh rupanya buat pak cik yang sepatutnya menunjuka sesuatu yang baik untuk orang muda.
Kala ini, marilah kita mengambil ibrah Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, dikira lensa menghala kepadanya, pemberita sudah siap untuk mencoretkan sesuatu di pena, beliau malah amat berhati-hati menyusun kata. Amat jarang kita mendengar sesuatu yang kontroversi diperkatakannya sehinggalah beliau meninggalkan kita. Namun adakah beliau tidak buat kerja? Tidak, bahkan jasanya cukup besar dalam mencorakkan gerak kerja PAS sehingga kini. Membuka ruang seluas-luasnya kepada profesional masuk dalam PAS dan menggunapakai ijtihad tahalluf siyasi.
Tahanlah diri daripada membodohkan diri
Nasihat saya, jika tidak dapat memperkatakan sesuatu yang baik. Maka dikira suatu kebaikan apabila mendiamkan diri daripada memperkatakan sesuatu yang kita bukan ahli. Jika banyak masa, scroll setiap inti komentar kita di FB, akbar-akbar online dan pelbagai lagi dalam masa tahun-tahun ke belakang. Nilailah sendiri komen yang berbaur emosi yang mungkin tak akan padam daripad memori internet ini berpuluh-puluh tahun akan datang. Jika kita telah tiada, ini semua akan diwarisi oleh anak cucu kita.
Mewarisi sama ada sebuah hikmah atau sekadar hanya kebodohan.
-------------------------
MS Rizal,
Le Creusot, Perancis.