Sunday, 5 October 2014

Berburu ke padang datar

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.


[Maksud pantun ini, lebih kurang supaya berburulah ditempat yang betul agar betul hasilnya.  Jika berburu di padang datar, belalanglah hasilnya.  Jika berburu di hutan barulah pelbagai hasil buruan yang kita dapat.]


Sengaja saya memulakan entri ini dengan pantun di atas.  Jam sudah menunjukkan 1:07 pagi.  Niat di hati memang hendak tidur, namun saya tetap menahan mata ini kerana ada tugasan perlu disiapkan, dan tarikh akhirnya adalah sehari lagi.  Sesekali saya membuka jendela, kesejukan angin malam musim luruh ini boleh tahan juga.  Waktu pagi sahaja boleh mencecah 2 darjah celcius, saya tak pasti bagaimana mahu menghadapi musim sejuk nanti.  Khabar dari teman di sini, bandar kecil Le Creusot ini bersalji.  Moga Allah memberi kekuatan untuk saya mengharungi semua ini.

Bangunan Condercet tahun lepas bersalji

'Mengesan objek yang bergerak'

Begitu mungkin namanya apabila diterjemah daripada bahasa Inggeris, 'Tracking a Moving Object'.  Pelajaran pertama sahaja sudah membuatkan saya 'pusing'(meminjam daftar kata indonesia), lebih-lebih lagi melihat rakan sekelas lain yang mempunyai asas programming yang kuat.  Namun seperti biasa, saya tidak mudah kalut saya akan tenang sahaja walaupun perkara itu tidak tahu.  Ada masa lagi untuk menelaah mana yang tidak faham, bertanyakan mana yang kurang.


Melalui konsep ini barulah saya faham, apa yang dibuat oleh radar yang berpusing-pusing di atas kapal sebelum ini.  Pastinya secara asas semua orang boleh memperkatakan tentang 'tracking' hanya dengan menonton filem hollywood seolah-olah perkara ini hadir dan menjelma begitu sahaja.  Rupa-rupanya ada algorithm di sebaliknya.  Ada asas yang membuatkan saya faham.  Alhamdulillah, kefahaman yang baik, semoga Allah memandaikan saya dalam agama ini juga.

'Sesiapa yang Allah berkehendakan kebaikan dalam agamanya, maka Allah mengurniakan dengan kefahaman dalam agama'.

Sensitif pada sekeliling

Apabila memperkatakan tentang tracking, saya suka menggunakan perkataan ini dalam menjejak sesuatu yang kita mungkin tidak perasan.  Semenjak saya menyambung pelajaran dalam bidang Sarjana sedari September 2013, saya amat menghargai jasa dan pengorbanan isteri dan anak saya.  Seakan-akan sesak dengan waktu yang padat, (sengaja saya gunakan seakan-akan, kerana ada masa terlalu sibuk dan ada masa tidak juga) saya banyak tidak berada di rumah berbanding berada di rumah.


Bayangkan waktu kerja 0745 saya telah ke tempat kerja, balik hampir jam 7 malam.  Kebiasaannya waktu malam saya telah padat- usrah di malam hari, meeting program, menyiapkan assigment, terkadang juga dipanggil ke pejabat dan juga mengajar part time di UniKL membuatkan saya agak kecapekan(pinjam lagi bahasa Indonesia). Kebiasannya sampai ke rumah telah jam 12 malam, anak pun telah masuk tidur.  Namun alhamdulillah, isteri saya amat memahami perkara ini.  Mungkin juga kerana beliau dibesarkan dalam keluarga tarbiyyah, ayah mertua juga sibuk dengan jemaah dan terkadang tiada di rumah.  Selagi mana isteri saya tahu saya berada di mana itu sudah cukup baik bagi dirinya.
Isteri dan anak saya (Asma' Nurnajla) di Mesir Januari 2014

Tetapi saya faham, adakalanya isteri saya juga akan bosan apabila terlalu lama duduk di rumah.  Saya kebiasaannya akan membawa sahaja jika ada masa lapang untuk makan di luar jika itu sudah cukup menghiburnya.  Di hujung minggu terkadang, program negeri dan daerah yang saya tidak dapat turut serta, saya akan hantarkan isteri.  Tidak mengapalah, sedikit pengorbanan ini sudah sampai ke hujungnya.  Selepas itu mungkin saya berehat sebentar dan akan bergantian dengan isteri pula untuk menyambung pelajarannya.

Saya juga perlu sensitif dengan keperluan keluarga saya, emak dan abah, adik beradik begitu juga dengan keluarga mertua.  Perkara ini perlu ditimbang sebaik-baiknya dan jika tidak boleh dituruti terangkan agar mereka faham.

Apapun terima kasih kepada semua yang mendoakan sehingga saya sampai menjejakkan kaki ke bumi Eropah ini.  Ianya bermula dengan angan-angan dan mimpi.  Ianya juga perlu disertai dengan ikhtiar dan bijak membahagi mana-mana yang lebih priority.  Bagi saya biar miskin harta, asal jangan miskin jiwa.

No comments:

Post a Comment