Wednesday, 22 July 2015

Pengajaran di Sebalik Tokoh bernama Saifuddin Qutuz

Saya teringat kembali tentang seorang tokoh bumi Mesir bernama Saifuddin Qutuz.  Nama yang cukup popular dalam peperangan Ain-Jalut pada kurun ke-13 Masihi.  Apa yang saya ingin bangkitkan di sini bukanlah mengenai peperangan Ain-Jalut itu sendiri, tetapi mengenai bagaimana kesatuan Islam terhasil sebelum peperangan.

Ajaibnya Saifudin Qutuz naik takhta dalam keadaan Mesir lemah serba-serbi, baik ekonomi, politik malah kesatuan umat Islam.  Mesir pula ketika itu ibarat menunggu masa sahaja untuk di'sapu' setelah kerajaan Tartar Mongol berhasil menakhluki Baghdad (Ibu Kota Kerajaan Bani Abbasiyah), Syam (Syria) dan juga Palestin.

Perebutan kuasa di Mesir ketika itu amat dahsyat, sultan sebelum Saifudin iaitu Raja Izzudin Aibak dibunuh, malah Saifudin juga sendiri terbunuh di tangan Panglimanya sendiri sebelum sempat beliau pulang ke Kaherah setelah Perang Ain-Jalut berakhir. Bayangkan betapa dahsyat perebutan politik semasa itu?

3 langkah yang dikatakan amat berkesan dalam menyatukan umat Islam ketika itu:

(1) Memanggil semua yang bersengketa dan memusatkan keutamaan.  Kesemua pemimpin, pembesar, Ulama', Menteri dan mereka yang berpengaruh dipanggil dan diseru melawan Tartar.  Saifuddin meminta melupakan sebarang sengketa dan kesetiaan diberikan bulat kepadanya, walaubagaimanapun setelah kemenangan terhasil mereka boleh putuskan selepas itu sesiapa sahaja yang layak menyandang jawatannya.

(2) Memberi pengampunan kepada penyokong Mamalik Bahriah.  Kumpulan ini dikatakan menjadi dalang kepada pembunuhan Raja Izzudin Aibak dari Mamalik Muizzudin.  Mamalik Bahriah mempunyai pengalaman luas dalam ketenteraan dan teruji dalam perang Mansurah sebelum itu melawan tentera Salib.

(3) Cubaan menyatukan Mesir dan Syria.  Syria pada ketika itu diperintah oleh Raja Nasir al-Ayubi.  Malah Saifudin Qutuz dalam cubaan memujuk sanggup duduk di bawah tahta Nasir al-Ayubi. Walaupun cubaan ini tidak dilayan, namun akhirnya Tentera Syria menggabungkan diri setelah Raja Nasir memilih untuk menyelamatkan diri.

Faktor lain adalah waraknya Saiffudin Qutuz pada agama dan mempunyai seorang Ulama' yang jujur dalam menasihatinya iaitu Izzudin ibn Salam (berusia 81 tahun ketika perang Ain-Jalut dan turut serta dalam perang tersebut).

;

Pengajarannya, perpecahan mampu diurus di bawah seorang ketua yang berjiwa besar dan menatijahkan kemenangan.  Namun dalam masa yang sama sikap rendah diri dan pemaaf juga menjadi pelengkap kemenangan.  Semoga Allah SWT mengurniakan seorang pemimpin seperti ini buat kita di Malaysia.

No comments:

Post a Comment